Teks dan foto - nelly sofni azmi
Lebih kurang sudah 12 tahun saya berada di dalam dunia bisnes dan lebih kurang lapan tahun berkecimpung dalam dunia jahitan.
Pada pembabitan awal mengusahakan bisnes ini adalah dorongan ahli keluarga terutama abah dan diri saya sendiri.
Saya bermula denga modal sendiri dari simpanan ketika masih bekerja. Saya memang tak mahu meminjam dari sesiapa. Biarlah susah senang dengan modal kecil-kecilan dari simpanan sendiri.
Sewaktu berniaga saya masih lagi bergelar pekerja di pejabat dengan jawatan eksekutif pengurusan sumber manusia dan akaun syarikat tersebut. Dengan gaji yang agak tinggi di saat itu, saya berada di tahap yang selesa sebenarnya.
Kenangan manis sewaktu saya masih bekerja, selepas sahaja habis waktu pejabat saya berjualan pula di uptown setiap malam. Bermula jam lapan malam hingga lebih kurang tiga pagi dengan membawa anak masih bayi demi mencari rezeki.
Namun pada esoknya saya pergi bekerja seperti biasa. Oleh kerana minat saya ketepikan rasa penat. Cuma saya selalu memastikan kerja-kerja pejabat saya tidak terganggu dengan urusan perniagaan di waktu itu.
Saya juga banyak menjelajah tapak promosi di mana -mana karnival untuk meraih pengalaman. Pernah ditipu ribuan ringgit ketika masih tidak ada pengalaman menyertai karnival. Namun pada saya ditipu tapak niaga adalah satu pengalaman berharga agar lebih berhati -hati.
Melihat dari sudut positif, saya banyak belajar di sebalik kepahitan yang dilalui waktu itu.
Saya juga banyak menghadiri seminar percuma dan juga berbayar anjuran Kerajaan mahupun persendirian. Dari situ saya berpeluang menambah ilmu baru terutama pemasaran dan bina rangkaian kenalan di kalangan usahawan. Selain membina semangat baru.
Banyak pengalaman yang saya tempuhi, namun semuanya saya simpan kemas sebagai satu memori.
Jangan takut untuk memulakan perniagaan walau kita hanya seorang wanita. Kerana untuk berjaya ia tidak berdasarkan jantina 👍😊
No comments:
Post a Comment